Friday, July 4, 2008

Dakwah pada Pemuda


Menjadi kebiasaan dunia pada hari ini, kita melihat golongan pemuda dipotretkan di kaca TV, filem-filem dan kehidupan sebenar sebagai golongan yang kuat, berdikari dan memberontak. Tambahan pula, mereka sering menonjolkan diri mereka dengan bersikap agresif dan mudah melenting. Di setiap tempat dunia, kita menyaksikan kewujudan perasaan gentar melalui mata seseorang apabila berhadapan dengan golongan pemuda di tempat asing.


Terutamanya di bandar-bandar besar dan tempat di mana berlakunya depresi besar-besaran disebabkan oleh kemiskinan dan pengangguran dan di mana isu-isu perkauman dan diskriminasi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, kita dapat memerhati kehadiran golongan pemuda yang telah belajar menjadi kuat untuk meneruskan kehidupan. Kita dapat memerhatikan golongan pemuda yang telah berpendapat bahawa menanamkan perasaan takut dalam diri orang lain merupakan cara yang terbaik untuk mempertahankan diri daripada diserang.

Tetapi kita hendaklah menyedari bahawa bagi golongan yang paling kasar dan kuat pun mempunyai titik kelemahan tersendiri. Apabila mencuba untuk menyampaikan mesej Islam (melakukan dakwah) kepada golongan pemuda, kita perlu menyedari bahawa walau sekuat mana sekalipun lahiriah seseorang, terdapat suatu titik terselindung dalam diri mereka yang akan bereaksi secara positif jika dihampiri dengan cara yang berhikmah.
Kita semua telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan mesej Islam kepada semua orang. Apakah mesej tersebut? Ia adalah mengakui bahawa segala yang terdapat di alam ini dicipta oleh Pencipta Yang Maha Berkuasa yang menjaga dan memelihara segala ciptaan termasuk kita semua, dan dari belas kasihan-Nya telah mengutuskan rasul-rasul dan utusan-utusan kepada manusia di sepanjang zaman untuk menunjuk dan memandu manusia ke jalan untuk mencapai kebahagian dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Rasul utusan terakhir ialah Nabi Muhammmad s.a.w. dan mesej Islam yang disampaikan oleh Baginda akan terpelihara sehingga hari kebangkitan. Ini bermakna mesej Islam adalah besesuaian untuk segala manusia yang mendiami dunia ini - samada dari golongan kaya ataupun golongan miskin, dari golongan berkuasa ataupun golongan tertindas, dari golongan baik-baik ataupun golongan yang agresif. Setiap orang menghendakkan ketenangan dalam kehidupan dan Islam datang bersama ketenangan tersebut. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan mesej islam dan seterusnya membantu mereka untuk mengenali diri sendiri dan menjadi individu ayng lebih baik.

Haruslah senantiasa beringat bahawa setiap individu diciptakan dengan kesedaran akan wujudnya Tuhan, Pencipta mereka. Dan haruslah diingat juga bahawa pencarian kepada Pencipta dan erti kehidupan tersemat di dalam hati sekasar-kasar individu. Apa yang menjadi cabaran adalah untuk mencari kaedah yang berhikmah untuk menyentuh hati individu yang telah dikotori oleh penyalahgunaan, penderaan atau proses untuk terus hidup (mechanism of survival).

Jika kita berhadapan dengan golongan yang hati mereka telah dikotori dan keras, haruslah sentiasa beringat untuk:
-Bertenang-Jangan menilai atau bersangka buruk
-Jangan mengugut atau mendesak
-Bercakaplah ke dalam hati-Lihat ke dalam mata (eyes contact)-Bertindak berdasarkan isi/luahan individu tersebut, bukan kepada nada suara-Mempamerkan emosi cara yang menyentuh dan betul

Ingatlah bahawa setiap manusia dilahirkan sebagai seorang bayi kecil dan kemudian masyarakat, kehidupan dan tindakan/keputusan kita yang membentuk diri kita. Individu yang berdiri di depan anda ketika ini boleh berubah. Mohonlah kepada Allah agar menjadikan diri kita sebagai contoh dalam kehidupan seseorang (be a milestone in someone’s life); yakni bermaksud menjadi titik pusingan ke arah jalan kebaikan.

Diterjamah dari artikel oleh Latiefa Achmat, seorang kaunselor Islam dan pekerja kebajikan di Cape Town, Afrika Selatan.
Sumber: IslamOnline.net

No comments: